“Sepanjang perjalanan ini, lembah dan lurah ku lewati, ketenangan yang ku cari, belum ku temui…” masih kekal dalam ingatan bait-bait lirik lagu yang pernah menjulang nama penyanyi Zaiton Sameon tatkala menjuarai Juara Lagu pada tahun 1987 dengan lagu berjudul Menaruh Harapan.

Baru-baru ini, penyanyi terkenal era 80-an ini ada berkongsi kisah suka duka yang pernah dilaluinya sebagai seorang penyanyi menerusi satu rakaman video segment Cerita Orang Kita di saluran YouTube SinarPlus.

Sebelum bergelar sebagai seorang penyanyi, Zaiton mendedahkan dirinya pernah ditolak untuk menjadi penyanyi oleh beberapa syarikat rakaman kerana tidak memiliki rupa paras yang jelita dan perwatakan yang menarik.

“Saya dulu kerja di bank. Tapi pada masa yang sama saya menyanyi di kelab malam. Ketika itu saya jemputan menyanyi di majlis makan malam dan bakat saya sebagai penyanyi dilihat ketika itu,

“Saya memang teringin nak ada album sejak awal lagi tapi tiada rezeki. Saya ditolak oleh beberapa syarikat rakaman dengan alasan kata saya tak cantik, tak cukup seksi, suara tak sedap, hitam dan sebagainya,

“Boleh dikatakan ketika itu setiap hari saya ada undangan persembahan. Memang seronok ketika itu. Saya banyak belajar tentang seni persembahan ni daripada Anita Sarawak,

“Beliau pesan supaya saya lebih banyak berkomunikasi dengan penonton dan jangan hanya menyanyi sahaja, saya perlu ada penceritaan dan menghiburkan mereka,” katanya.

Namun, siapa menyangka penyanyi lagu Menadah Impian ini ditimpa nasib malang ketika berada di puncak kerjayanya sebagai seorang penyanyi popular.

Pada tanggal 21 Februari 1990, Zaiton ditimpa peristiwa ngeri selepas terlibat satu kemalangan jalan raya di Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dekat Batang Kali yang turut meragut nyawa anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 13 tahun.

Akibat kemalangan jalan raya tersebut, Zaiton mengalami cedera parah hingga koma selama 3 bulan dan menyebabkan memorinya terjejas.

Dalam pada itu, Zaiton turut mengimbau kembali kenangan manis bersama arwah anaknya, suatu ketika dahulu.

“Arwah anak saya dulu pandai bermain piano. Orangnya pemalu. Lauk-pauk kegemaran dia mestilah pedas macam masak sambal,

“Bila dah siap kerja sekolah, pada waktu malam dia akan main piano dan saya akan menyanyi bersama,” kongsinya lagi.

Ikuti video penuh di bawah;

Foto: Carian Google

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here