Baru-baru ini, pelakon Mawar Rashid dan suami, Raf Yaakob telah diundang sebagai tetamu jemputan untuk rancangan bual bicara Wanita Hari Ini yang bersiaran langsung di TV3, pada Isnin.

Pasangan suami isteri ini diundang secara maya bagi membincangkan topik masalah rumah tangga yang bertajuk ‘Kedekut Tak Kena Tempat’ bersama penonton.

Sebagai seorang suami, Raf atau nama sebenarnya Raden Ahmad Faizal Yaakob berpendapat untuk memberi nafkah kepada isteri adalah satu perkara yang wajib untuk dilaksanakan.

Selain itu, Raf berkata tidak salah untuk seorang suami berbelanja lebih sekiranya mahu mengembirakan hati isteri.

“Bagi saya, kehidupan ni saya bersandarkan kepada dua orang iaitu ibu dan juga isteri. Jadi bila bercakap fasal isteri ni saya pun memang tahu nafkah itu wajib biarlah kita bagi RM50 sekali pun, memang harus kena bagi. Macam selalu orang kata itu adalah pintu pembuka rezeki untuk serorang suami,

“Jadi pada pendapat saya, kalau ada duit lebih tidak salah untuk seorang suami itu membuatkan isteri berasa gembira sebab bagi saya kebahagiaan isteri adalah kebahagiaan hidup,

“Soal berbelanja tu kita sebagai seorang suami jangan lah terlampau berkira. Kalau kita tak cukup duit berbincanglah dengan isteri, kita utamakan apa yang perlu diberi keutamaan tapi benda wajib dan asas harus dilakukan,” katanya.

Pada masa sama, Mawar memberitahu adalah penting untuk para isteri memainkan peranan sebagai tulang belakang suami dalam menguruskan kewangan rumah tangga.

Sebagai seorang isteri berkerjaya, Mawar berpendapat tidak menjadi satu kesalahan sekiranya para isteri untuk membantu kewangan suami masing-masing.

“Bagi saya, sekiranya kita sebagai seorang isteri yang berkerja tidak salah untuk kita bantu suami kita. Misal kata, kalau mahu berbelanja barang murah atau mahal kita kena tengok kemampuan suami,

“Kalau suami kita masih belum mampu, kita beli sahaja apa yang mampu dan jangan terlampau sangat nak ikutkan kehendak kita tu,” luahnya.

Sekadar informasi, Mawar dan Raf mendirikan rumah tangga pada tanggal 9 November 2017 dan dikurniakan sepasang permata hati iaitu Raden Muhammad Rafael, yang kini berusia 2 tahun dan Raden Seri Rossabella Cinta, 9 bulan.

Foto: Instagram Mawar Rashid

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here