Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga sudah pasti mengharapkan mahligai cinta yang dibina kekal bahagia dan harmoni sehingga ke akhir hayat namun tidak mustahil juga perceraian boleh berlaku dalam rumah tangga .

Sebagai seorang yang pernah mengalami penceraian dan kegagalan dalam rumah tangga, penyanyi dan usahawan, Lufya Omar ada berkongsi cerita pendapat mengenai maruah dan aib dalam rumah tangga.

Kongsinya, setiap pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga harus untuk menjaga maruah antara satu sama lain dan tidak membuka aib rumah tangga bersama orang lain.

Namun, sebagai seorang wanita Lufya mengakui adakalanya berasa terlampau emosi untuk berkongsi masalah rumah tangga kepada orang ramai di laman media sosial.

“Saya akui bila kita banyak bermain media sosial, itu adalah satu masalah kepada kaum wanita. Apabila seseorang itu memegang telefon dalam keadaan yang beremosi, dia akan meluahkan segala perasaan, kesakitan yang dialami kepada orang ramai,

“Tapi nanti apabila dia sudah meluahkan segalanya, mungkin secara sedar atau tidak sedar dia akan mengaibkan ahli keluarga dan diri sendiri,

“Saya dapat lihat dengan situasi yang berlaku sekarang, ramai yang apabila dia tidak puas hati dia terus tulis di laman media sosial,

“Apa sahaja yang berlaku disekeliling, mereka nak kongsi dan beritahu kepada orang ramai,” katanya.

Lufya telah diundang sebagai tetamu jemputan secara maya untuk berkongsi pendapat hal tersebut bersama para penonton rancangan bual bicara Wanita Hari Ini yang bersiaran langsung di TV3, pada Khamis.

Sekadar informasi, Lufya telah mendirikan rumah bersama, Dr Che Muhammad Hafiz pada tanggal 26 November 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang diberi nama Lana Haura, 2 tahun.

Bagaimanapun, pasangan ini memutuskan untuk bercerai pada Jun tahun lalu.

Foto: Instagram Lufya Omar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here