Pelawak dan usahawan, Shahmira Muhamad atau lebih dikenali sebagai Shuib ada membuat satu rakaman video secara ‘Live’ di akaun Instagram miliknya selepas arwah isterinya, penyanyi Siti Sarah selamat dikebumikan pada petang Isnin.

Menerusi rakaman video tersebut, Shuib telah meluahkan perasaannya dan berkongsi pelbagai kisah yang dihadapi bersama peminat setelah keluarganya menjadi mangsa jangkitan wabak Covid-19 sebelum.

Antara yang telah mencuri tumpuan peminat, apabila bapa kepada empat orang cahaya mata ini mulai sedar bahawa wang ringgit bukanlah segala-galanya.

Malah, bekas penyampai radio Hot FM ini mengakui meski memiliki wang ringgit yang banyak tidak akan mampu menyelamatkan nyawa isterinya.

“Saya nak bawa isteri saya pergi hospital swasta. Tapi semua hospital penuh. Ketika itu saya sedar yang banyak mana pun duit saya ada, saya tak boleh nak selamatkan isteri saya.

“Jadi janganlah sayang duit. Kalau duit ada, beli lah vitamin yang bagus,” katanya.

Terdahulu, Sarah sekeluarga telah disahkan positif Covid-19 pada 27 Julai lalu.

Selepas itu, Sarah telah dikejarkan ke HUKM selepas tahap oksigen dalam tubuh badan menurun pada petang Rabu.

Kemudian, dia terpaksa ditidurkan sebelum menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungannya yang mencecah usia tujuh bulan lebih awal, pada 5 Ogos lalu.

Pada Jumaat bertarikh 6 Ogos, Sarah telah selamat melahirkan bayi lelaki diberi nama Ayash Affan.

Sarah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, Selangor pada Isnin petang.

Sekadar informasi, Sarah telah mendirikan rumah tangga bersama Shuib pada 26 Februari 2011 dan hasil perkongsian hidup, pasangan ini turut mempunyai tiga cahaya mata lain iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.

Foto: Instagram Shuib, Siti Sarah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here