Cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob telah diundang sebagai tetamu jemputan untuk berkongsi pendapat serta membincangkan topik ‘Bersiap Untuk Isteri’ bersama penonton rancangan Wanita Hari Ini (WHI), TV3, pada Jumaat. 

Akui Fazley, bukan satu perkara yang mudah bagi pasangan yang sudah berkahwin untuk menjaga penampilan diri namun ianya tidak mustahil untuk dilakukan. 

“Saya sebenarnya terpanggil dengan sikap ramai anak muda sekarang terutamanya lelaki yang mana mereka sering mengatakan wanita itu kononya berada di tahap bawah daripada lelaki, 

“Bermaknanya kalau dah berkahwin, perlu bersiap, cantik, berhias semegah-megahnya di rumah tetapi situasi sebenarnya bagi yang dah berkahwin tahu ianya bukan mudah, bukan mustahil,” katanya. 

Dalam pada itu, bapa kepada empat orang cahaya mata ini berkata menjaga penampilan diri ini bukan sahaja perlu dititikberatkan oleh para isteri malah oleh para suami juga. 

“Saya kurang setuju kalau ramai mengatakan bahawa isteri di rumah kena bersiap sentiasa. Maksud saya bukan tidak boleh, tapi kena ikut keadaan dan situasi, 

“Macam saya, walaupun saya berkerja sebagai tukang masak tetapi bila saya balik rumah saya menjadi ‘raja’ dan semua kerja di rumah sebagainya isteri saya yang lakukan, 

“Jadi saya tidak mengharapkan untuk dia sentiasa bersiap di rumah. Tapi realitinya apa yang kita baca dalam novel, apa yang kita lihat dalam drama TV tidak sama dengan apa yang berlaku dalam rumah, 

“Kalau nak isteri cantik, lelaki wajib bersiap sama macam isteri,” tambahnya lagi. 

Di samping itu, Fazley turut mendedahkan bahawa dia sentiasa menjaga penampilan berbanding isterinya, Datin Azreene

“Saya seorang yang sangat menjaga penampilan berbanding dengan isteri saya yang biasa-biasa sahaja. Tetapi kalau dia bersiap, saya rasa macam seperti ada isteri nombor dua, 

“Saya selalu cakap saya ni macam ada isteri nombor dua, sebab isteri saya ni kat rumah dia santai tapi kalau dia keluar bersiap seperti seorang isteri raja, 

“Ketika masa kami mula bercinta di London dulu, kami memang ada perjanjian dan saya pernah berjanji dengan isteri yang saya akan sentiasa pastikan untuk tidak boroi, badan tidak berbau selepas berkahwin, 

“Malah, saya punya barang penjagaan kulit lebih dua kali ganda berbanding isteri saya. Ini bukan kerana saya seorang selebriti, tetapi saya mahu penampilan saya di rumah itu semegah yang isteri saya harapakan,” katanya jujur. 

Untuk rekod, Fazley dan isterinya, Datin Azrene Ahmad telah mendirikan rumah tangga pada tanggal 7 November 2007.

Hasil perkongsian hidup tersebut, pasangan ini telah dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz, Ahmad Fieradz, Ahmad Fierudz dan Alayna Selma.


 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here