Baru-baru ini, penyanyi Misha Omar telah berkongsi cerita serta mengenang kembali pemergian penyanyi Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin ke negeri abadi buat selama-lamanya.

Dedah Misha, hubungan persahabatan bersama arwah sudah terjalin akrab ketika mereka sama-sama mula menceburi karier seni nyanyian. 

Sebagai rakan penyanyi, Misha menyifatkan arwah adalah seorang penyanyi yang ceria dan mudah didekati oleh semua orang. 

Perkongsian tersebut telah dikongsikan oleh Misha ketika diundang sebagai tetamu jemputan rancangan hiburan MeleTOP yang bersiaran langsung di Astro RIA, pada Selasa.

“Arwah bukan sahaja rapat dengan saya malah dia sangat rapat semua orang. Permulaan kami berdua dalam karier seni nyanyian telah berada di garisan masa yang sama, 

“Jadi dari situ kenal antara satu sama lain sebelum masing-masing menjadi seorang yang dikenali ramai,

“Tapi dari dulu lagi, dia memang seorang yang periang sampai kadang-kadang tu saya tak boleh nak kawal dia punya periang tu,” katanya. 

Dalam pada itu, penyanyi yang sinonim dengan lagu Bunga-Bungan Cinta ini berkata pemergian arwah Siti Sarah adalah satu kehilangan yang tiada ganti. 

“Bila dia tiada tu, rupa-rupanya betul lah apa yang orang selalu kata ‘patah tumbuh hilang berganti’, 

“Tetapi apabila yang hilang tu nak kita ganti memang tak ada,” luahnya lagi. 

Terdahulu, Sarah yang telah disahkan positif Covid-19 terpaksa ditidurkan sebelum menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungannya yang mencecah usia tujuh bulan lebih awal, pada 5 Ogos lalu.

Kemudian, Sarah menghembuskan nafas terakhirnya di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada jam 5.13 pagi, 9 Ogos.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, jam 1.20 tengah hari, pada hari sama.

Foto: Instagram Misha Omar

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here