Menerusi rancangan bual bicara Wanita Hari Ini yang bersiaran di TV3, Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong James ada berkongsi cerita tentang masalah buli yang pernah dialaminya ketika di bangku sekolah.

Di samping berkongsi cerita dan membincangkan topik yang bertajuk ‘Buli Yang Tiada Kesudahan’ bersama penonton, anak kelahiran Kuching, Sarawak ini turut berkongsi pengalaman yang dilaluinya sebelum ini.

Pemegang sijil Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Perhubungan Awam) Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini berkata masalah buli tersebut berlaku oleh kerana dirinya memiliki warna kulit yang sangat gelap dan kurus.

“Pengalaman saya menjadi mangsa buli dulu, sebenarnya ketika itu saya masih belajar di sekolah menengah. Saya ni jenis seorang yang tak banyak kawan dan saya rasa dulu saya kena buli sebab penampilan saya,

“Saya ni seorang yang pemalu dan pada masa yang sama saya merupakan seorang pelajar yang agak tinggi berbanding pelajar lain dalam kelas. Menjadi seorang yang tinggi, memiliki kulit yang sangat gelap dan kurus menyebabkan saya tak ada kawan yang ramai,

“Disebabkan itu, saya tiada keyakinan dalam diri terutama bila bersama dengan kawan-kawan perempuan yang lain,” katanya.

Model berusia 25 tahun ini memberitahu masalah buli yang dihadapinya telah memberikan impak yang besar ketika di usia mudanya.

Francisca berpendapat sangat penting kepada para ibu bapa untuk memainkan peranan dalam menangani masalah buli yang sering berlaku di sekolah.

“Saya tidak pernah ceritakan fasal saya kena buli dekat sekolah pada mereka sebab saya rasa malu. Tapi disebabkan ibu bapa saya jenis yang peka perubahan sikap saya, ambil berat tentang diri saya walaupun saya berpura-pura untuk menjadi okey, mereka tahu yang sebenarnya saya tidak okey,” kongsinya lagi.

Foto: Instagram Francisca Luhong James

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here