Penyanyi, Nabila Razali meluahkan rasa syukur dan gembira apabila lagu single terbarunya yang berjudul Putus telah mendapat sambutan yang memgalakkan daripada para peminatnya.

Nabila ketika diundang secara maya bagi mempromosikan lagu single terbaru tersebut bersama penonton rancangan Wanita Hari Ini, TV3 berkata lagu ini merupakan kesinambungan daripada lagu single terdahulunya yang berjudul Peluang Kedua.

“Lagu Putus ini merupakan sebuah lagu kesinambungan daripada lagu Peluang Kedua, jadi kepada sesiapa yang dah pernah mendengar lagu Peluang Kedua boleh tahu bagaimana lagu Putus ini berkait dengan lagu Peluang Kedua,” katanya.

Kongsi Nabila atau lebih mesra dengan sapaan Bella, lagu ini dihasilkan dan ditujukan buat mereka yang sedang berhadapan dengan situasi selepas putus cinta terutamanya kepada golongan remaja.

Pada masa sama, penyanyi berusia 29 tahun ini mengakui bukan satu perkara yang mudah untuk berhadapan dengan situasi putus cinta.

Oleh itu, Bella mengharapkan lagu single terbarunya ini boleh dijadikan sebagai satu sumber kekuatan buat mereka yang gagal dalam hubungan percintaan.

“Untuk lagu Putus ini, menceritakan kisah seorang gadis yang tidak mahu beri peluang kedua dan dia terus buat keputusan untuk putus sebab ada pepatah pernah berkata kadang-kadang benda yang bukan untuk kita memang sudah ditakdirkan bukan untuk kita,

“Jadi lebih baik untuk kita lepaskan dan kita berdoa supaya kita dapat penganti yang lebih baik kerana kadang-kadang ‘holding on does more damage than letting go’. Jadi kita lepaskan sahaja benda itu,

“Saya prihatin dengan anak-anak muda remaja di luar sana yang tak boleh nak ‘move on’ selepas putus cinta. Saya tahu sukar untuk kita ‘move on’ tapi jalan yang terbaik adalah kita putus sahaja dan mintak pada Tuhan untuk gantikan dengan yang lebih baik,” katanya lagi.

Sekadar informasi, lagu Putus telah mula dilancarkan di laman penstriman YouTube pada 12 November lalu dan sehingga kini sudah meraih lebih 400,000 jumlah tontonan.

Foto: Instagram Nabila Razali

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here