Bersempena sambutan bulan Ramadan tahun ini, stesen radio Suria FM telah memperkenalkan pengisian khas dan menarik untuk disajikan kepada para pendengar sepanjang Ramadan ini. 

Suria FM telah mengangkat slogan ‘Kumpul Pahala’ sebagai tema pilihan untuk edisi Ramadan kali ini.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin berkata, pemilihan slogan berkenaan adalah sebagai langkah  dalam usaha menyeru orang ramai meningkatkan amalan kebaikan dan mengumpul pahala sepanjang bulan Ramadan. 

“Seperti yang semua tahu, pahala amalan akan berganda pada bulan Ramadan. 

“Dengan konsep begitu, Suria FM akan mengetengahkan tema #KumpulPahala dalam usaha menyeru orang ramai untuk sama-sama melipat gandakan amalan mengumpul pahala pada bulan yang mulia ini,” katanya. 

Pada masa sama, DJ Lin menambah seleksi program ilmiah yang diketengahkan oleh Suria FM kali ini bukan sahaja memberikan hiburan semata-mata kepada pendengar. 

“Suria FM begitu menitik beratkan variasi pengisian Ramadan kali ini agar dapat memberi manfaat.

“Pada masa yang sama memberikan hiburan kepada pendengar dan penonton Suria menerusi semua platform yang sedia ada, sama ada secara ke udara ataupun melalui platform digital,” tambahnya lagi. 

Antara pengisian Kumpul Pahala adalah program Tadabbur Suria Bersama Quran Humaira di platform digital Suria FM. 

Sebanyak 11 episod, para pendengar akan ditemani bersama Ustaz Don Daniyal dalam menafsir, memahami maksud ayat dan mendalami isyarat-isyarat daripada ayat-ayat al-Quran sepanjang Ramadan ini. 

Selain itu, anda juga boleh dengarkan perkongsian Ustazah Datuk Dr Nurhafizah mengenai topik-topik berkenaan mencari cinta Allah SWT di dalam bulan Ramadan menerusi program 30 Hari Mencari Cinta Ilahi.

Dalam pada itu, anda juga boleh beli Kotak Infak Suria di laman sesawang www.kedai.suria.my dan hasil jualan kotak ini akan disalurkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terpilih. 

Kotak Infak Suria mempunyai barangan seperti sejadah, minyak wangi mesra wuduk, pelitup muka dan hand sanitizer.  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here