Pelakon versatil, Didie Alias ada menyuarakan pendapat berhubung isu hangat membabitkan tindakan seorang pelakon yang telah memuat naik satu rakaman video memaparkan adegan ‘panas’ bagi tujuan mempromosi sebuah drama terbaharu sehingga tular di laman media sosial, baru-baru ini. 

Didie berkata, perkara sedemikian adalah tidak sewajarnya dilakukan oleh para pelakon dan penggiat seni kerana ia boleh menjejaskan reputasi industri lakonan tanah air.

Pada masa sama, aktres berusia 49 tahun ini menyifatkan tindakan yang dilakukan oleh pelakon berkenaan boleh menjatuhkan maruahnya sebagai seorang pelakon. 

“Sekarang ni normal, kalau tiada benda viral susah nak jual drama kecuali pelakon itu hebat dan untuk negara Malaysia masyarakat tidak boleh terima,

“Bagi saya, kalau benda itu sudah dikeluarkan di laman media sosial sama seperti dia menjatuhkan maruah diri sendiri dan siapa yang bersalah pada ketika itu?

“Kau sebagai seorang anak seni sepatutnya sudah tahu benda itu memang tidak boleh dilakukan di Malaysia,” katanya. 

Dalam pada itu, pelakon drama bersiri Cukup Derita Itu ini menasihati kepada pelakon baru untuk tidak melakukan perkara sedemikian bagi tujuan meraih populariti orang ramai. 

“Kepada pelakon baru, adakah itu caranya untuk naikkan nama anda dalam industri? 

“Kalau anda nak naikkan nama dalam industri, cuma tunjuk sahaja bakat yang anda ada, tidak perlu nak kena ada ‘content’ yang bodoh ni,” katanya lagi.

Meski menjalinkan hubungan baik dengan ramai penerbit drama tempatan, ibu kepada lima orang cahaya mata ini berkata para penerbit seharusnya memainkan peranan penting untuk tidak menghasilkan ‘content’ yang kurang berkualiti. 

“Walaupun dia tu kawan saya, tidak kisah lah nama dia siapa saya rasa dia dah boleh fikir benda ni adalah ‘content’ bodoh. 

“Sekarang ni, dah macam-macam saya tengok, contoh macam buat realiti program yang entah apa-apa semata-mata untuk ‘content’ 

“Saya tak marah tapi kita kena fikir sebab stesen TV ni makin lama makin banyak program dan artis yang keluar, 

“Jadi, dengan buat ‘content’ macam ni, adakah dia mahu  kekal relevan atau dalam industri,” luahnya lagi. 

Didie berkata demikian ketika ditemui majlis pelancaran sebuah jenama produk kecantikan dan penjagaan wajah, AISEL yang telah diadakan di Cornerstone IPC Glass House, Kuala Lumpur, pada petang Rabu. 

Foto: Instagram Didie Alias

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here