Pelakon, Puteri Aishah yang pernah dijangkiti wabak Covid-19 pada tahun lalu ada berkongsi cerita secara virtual menerusi rancangan Nona yang bersiaran di TV3, petang Ahad.

Meski telah sembuh daripada penyakit tersebut, Puteri memberitahu dia sentiasa berwaspada agar tidak lagi menjadi mangsa jangkitan Covid-19.

Dalam pada itu, Puteri turut mengimbau kembali sewaktu dirinya mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh setelah disahkan positif Covid-19.

Pelakon berusia 27 tahun ini mendedahkan dia tidak dapat bertemu dengan ahli keluarga dan rakan-rakan hampir sebulan oleh kerana tiada pelawat yang dibenarkan untuk menziarah pesakit Covid-19 setelah dimasukkan ke wad hospital berkenaan.

Berikutan insiden tersebut telah memberi kesedaran buat dirinya untuk lebih menghargai dan meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan.

Sebelum ini, Puteri atau nama lengkapnya, Puteri Aishah Sulaiman mengakui dia lebih mengutamakan kerjayanya sebagai seorang pelakon berbanding keluarganya.

“Ketika saya berada di wad, saya memang tidak dibenarkan untuk menerima pelawat langsung sewaktu mendapatkan rawatan di hospital. Jadi daripada awal memang saya sendirian dan walaupun boleh berhubung secara ‘video call’ atau melalui telefon, tapi rasanya tetap tak sama.

“Contoh, perasaan untuk mendapatkan kata-kata semangat daripada keluarga secara depan-depan sangat berbeza dengan panggilan telefon. Dari situ saya mula sedar betapa berharganya peluang untuk meluangkan masa bersama keluarga dan kawan-kawan,

“Macam sebelum saya kena penyakit ini, saya akui saya memang lebihkan masa dengan berlakon, ‘shooting’ sana sini. Jadi saya memang kurang luangkan masa dengan keluarga saya sebelum ini. Bila perkara ini terjadi pada saya, ia telah memberikan kesedaran pada diri saya,

“Syukur alhamdulillah, saya diberi kesembuhan dan peluang untuk meluangkan masa bersama keluarga. Jadi kini memang saya akan lebih memberi keutamaan kepada keluarga saya untuk meluangkan masa bersama-sama mereka,” katanya.

Terdahulu, Puteri telah disahkan positif Covid-19 selepas pulang menjalani pengambaran sebuah drama di Scotland pada 31 Mac tahun lalu.

Foto: Instagram Puteri Aishah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here