Penyanyi dan pelakon, Ezad Lazim mengakui kesilapan dirinya terjebak dalam penyalahgunaan dadah telah banyak memberi kesan buruk dalam hidupnya selama ini. 

Ketika diundang sebagai artis jemputan rancangan Keringat Selebriti di saluran Awesome TV, Ezad telah mengimbau kembali peristiwa pahit yang dilaluinya sebelum ini bersama penonton. 

Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohd Lazim akui mula terjebak dengan penyalahgunaan dadah ketika di usia muda selepas berhijrah menetap di Kuala Lumpur. 

“Masa mula-mula datang ke Kuala Lumpur, ketika itu saya masih muda tambah pula dua orang tua saya sudah tiada lagi pada waktu itu. Datang ke sini belajar kehidupan dengan melalui apa yang saya nampak, 

“Banyak yang saya belajar sebenarnya tapi saya akui telah terjerumus dengan perkara yang tidak baik seperti penyalahgunaan dadah, 

“Pada mulanya, saya buat benda ini sekadar macam suka-suka sahaja tetapi tak sangka pula ia memberikan satu kesan yang teruk dalam hidup saya,” katanya. 

Dedahnya lagi, dia mengalami masalah ketagihan yang sangat teruk akibat daripada penyalahgunaan dadah. 

Bukan itu sahaja, Ezad berkata dia telah membelanjakan wang simpanan sehingga habis hanya semata-mata untuk mendapatkan benda terlarang itu. 

“Saya boleh kata diri saya ketika itu telah mengalami ketagihan yang melampau dan lama juga saya terjebak dengan benda itu, 

“Kehidupan saya menjadi semakin tidak terurus, saya tidak fokus dengan bidang saya dan banyak habiskan duit saya untuk nak dapat benda itu, 

“Sampaikan duit simpanan yang banyak, saya akui semua duit simpanan saya habis untuk perkara itu sahaja dan saya rasa itu satu kerugian besar dalam hidup saya,” luahnya lagi. 

Terdahulu Mahkamah Majestret Selayang mengenakan denda sebanyak RM3,500 dan pengawasan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AAK) selama dua tahun selepas penyanyi itu mengaku bersalah atas tuduhan memiliki dadah jenis syabu seberat 0.30 gram pada 19 November2014. 

Sumber: YouTube Awesome TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here