Menerusi segment Ilham Sanubari Fedtri Yahya di radio Buletin FM, pelakon Catriona Brian Ross ada mengimbau kembali kenangan sewaktu terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang hampir meragut nyawanya, pada tahun 2007.

Dalam perkongsian yang bertajuk ‘Ibrah Dari Kenangan Yang Luka’, Catriona memberitahu insiden tersebut adalah satu kenangan pahit yang tidak akan dilupakan oleh dirinya.

“Seingat saya waktu itu teman serumah minta nak pinjam kereta untuk balik kampung lepas tu adatlah kalau orang nak pinjam apa yang milik kita, saya cuma bagi tahu nak pinjam kereta bagi macam itu sahaja tidak boleh. Kalau nak, saya kena ikut sekali,

“Bila dah sampai dekat Sungai Besi, waktu tu saya bagi tahu yang saya mengantuk, nak tidur. Jadi saya pesan pada dia kalau dah sampai dekat kampung di Johor nanti boleh kejut,

“Selepas itu, bila saya terbangun saya dah pun di atas jalan raya dan kemalangan itu sudah pun berlaku. Saya pun dah tercampak keluar dan memang tak ingat langsung sebab saya tertidur, bila saya bangun tu saya memang sudah di atas jalan raya di Senawang,

“Kemudian kawan serumah yang memandu kereta tersebut memberitahu kemalangan itu berlaku sebab ada kon di tengah jalan yang dia cuba nak elak dalam keadaan jalan yang sangat gelap dan sebagainya,

“Masa itu saya rasa sangat keliru sebab tak faham kenapa saya boleh tercampak keluar dan saya tak nampak kereta saya, maknanya saya dah tercampak sangat jauh dari kereta dan kemudian saya pengsan rupanya waktu itu saya dah ada pendarahan yang teruk. Bila sedar kembali saya dah ada di hospital dan pembedahan pertama sudah pun dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu, Catriona atau lebih mesra dengan sapaan Cat berkata insiden tersebut telah memberi satu tamparan yang besar dalam hidupnya.

“Waktu saya berada di hospital, doktor ada pernah mengatakan saya mungkin tidak dapat untuk berjalan balik secara normal seperti dulu dan kalau berkahwin mungkin saya tak dapat nak hamil.

“Jadi bila saya dengar kata-kata ni, ya Allah saya rasa macam tak akan ada satu manusia yang boleh rancang hidup saya kerana kita ada kuasa yang lebih besar dari Dia,

“Oleh itu saya cuba pegang kata-kata mereka ini untuk lawan balik dan buktikan pada diri bahawa ada satu kuasa yang akan mengatasi semua kata-kata manusia walaupun mereka ini adalah pakar,

“Daripada situ saya cuba cakap dengan Allah di bilik wad tu setiap malam secara tidak langsung saya mula dekat dengan Allah. Saya bercakap, berdoa, memohon keampunan dan sebagainya kemudian sedikit demi sedikit saya lihat ada perubahan positif pada diri saya,

“Bila saya dah boleh bergerak dan berjalan, saya rasa macam dah terhutang dengan Allah sebab tanpa kebenaran dan kemahuan Dia, saya tidak mungkin akan dapat berjalan balik,” katanya lagi.

Foto: Instagram Catriona Ross

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here