Seperti umum mengetahui, penyanyi Mafarikha telah menyanyikan semula lagu berjudul Kabut Serangkai Mawar yang pernah dipopularkan oleh penyanyi Zaiton Sameon sekitar tahun 1988.

Bukan itu sahaja, susunan lagu tersebut turut digubah semula dan diberikan nafas baru oleh Mafarikha atau lebih mesra dengan panggilan Mafa.

Nyata, tenaga dan suara yang dilontarkan oleh Mafa dalam lagu ciptaan asal oleh M.Nasir itu telah mendapat reaksi positif daripada pendengar.

Menerusi program bual bicara Malaysia Hari Ini (MHI), Mafarikha telah diundang sebagai tetamu jemputan secara virtual bagi mempromosikan lagu tersebut.

Dalam pada itu, penyanyi asal lagu tersebut, Zaiton Sameon turut bersama sebagai tetamu jemputan ketika program itu bersiaran langsung di TV3.

Penyanyi era-80an itu ada memberikan komen serta pendapat terhadap lagu yang dinyanyikan semula oleh naib juara program realiti nyanyian Vokal Bukan Sekadar Rupa itu.

“Saya berasa terharu, ada juga artis-artis baru ni seperti dia (Mafa) masih mengingati saya dan lagu Kabut Serangkai Mawar. Secara tidak langsung peminat pun akan ingat pada saya,” katanya.

Selain itu, Zaiton juga ada berkongsi perkembangan terkini dan rutin harian dirinya sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0).

Foto: Instagram Mafa, Zaiton Sameon

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here