Tidak dinafikan, ada pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga terpaksa berjauhan atau menjalani perkahwinan jarak jauh selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan ekoran situasi pandemik Covid-19 yang melanda di seluruh negara.

Pelakon, Hisyam Hamid misalnya yang turut berhadapan dengan situasi sedemikian ada berkongsi cerita mengenai hal tersebut bersama penonton di rancangan bual bicara Wanita Hari Ini, TV3.

Menerusi perbincangan topik bertajuk ‘Semarak Cinta PJJ’ yang diadakan secara virtual itu, Hisyam berkata untuk menjalani hubungan perkahwinan jarak jauh bukan satu perkara yang mudah dan penuh pancaroba.

Difahamkan, Hisyam terpaksa berpisah dengan isteri serta tiga orang anaknya yang menetap di Singapura, selama 13 bulan.

“Sebenarnya dia lebih kepada cabaran untuk mental. Contoh macam sebelum ni saya memang seorang yang sibuk berkerja dan bila kita balik rumah baru kita fikir fasal isteri dan anak kita.

“Tapi bila lama sangat berjauhan memang perasaan itu sangat berbeza daripada kebiasaan dan tidak dinafikan situasi seperti ini boleh membuatkan isteri kita berasa lebih bimbang, curiga dan sebagainya.

“Saya sebolehnya nak elakkan isteri saya menpunyai perasaan seperti itu jadi saya selalu buat kejutan, belikan dia hadiah senang kata kita beli jiwa isteri kita,” kongsinya.

Selain itu, pelakon berusia 35 tahun ini memberitahu komunikasi antara suami isteri adalah sangat penting sekiranya terpaksa menjalani perkahwinan jarak jauh.

“Bila terpaksa berjauhan untuk tempoh masa yang agak lama, saya akan cuba kekalkan untuk sentiasa berkomunikasi sebab pada saya komunikasi sangat penting.

“Saya hampir setiap hari akan ‘video call’, kadang sampai lima enam kali hubungi untuk kekalkan komunikasi itu,” katanya lagi.

Untuk rekod, pelakon kelahiran Singapura ini telah mendirikan rumah tangga Rosmawati Hanafi dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Foto: Instagram Hisyam Hamid

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here