Menerusi program Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) konsert minggu kedua, penyanyi Adibah Noor ada berkongsi pengalaman dirinya sepanjang berhadapan dengan situasi pandemik Covid-19. 

Pemilik nama lengkap Adibah Noor Mohamed Omar memberitahu situasi pandemik ini telah memberi kesan serta menjejaskan sumber kewangan dirinya untuk meneruskan kelangsungan hidup. 

“Sepanjang pandemik ni, boleh kata saya hilang sumber pendapatan sebab tawaran berlakon dan nyanyian pun tiada, 

“Jadi, duit dalam akaun bank pun semakin tipis, bila duit dah semakin tipis saya pun ada lah cari barang-barang lama saya, saya jual buku-buku lama saya, dari situ alhamdulillah saya boleh tampung sedikit kos perbelanjaan saya, 

“Bukan sahaja itu, saya juga tak malu nak mengaku yang saya ada gadai barang-barang kemas saya sebab nak tampung perbelanjaan saya, 

“Saya terpaksa gadai barang-barang kemas saya sebab bukan nak tampung makan saya seorang sahaja, tapi saya ada lagi 33 ekor kucing kat rumah yang saya nak kena bagi makan,” katanya. 

Dalam pada itu, penyanyi yang sinonim dengan lagu Terlalu Istimewa ini mengakui bahawa pembabitannya dalam program GV8 adalah kerana mahu melangsaikan beberapa hutang kepunyaan dirinya. 

“Jadi sebab itu lah saya masuk GV8 ni, dan kalau ada rezeki untuk saya menang saya mahu melangsaikan hutang-hutang yang saya ada,” akhirinya. 

Penyanyi berusia 51 tahun ini telah berkongsi hal tersebut menerusi satu rakaman video yang disiarkan sebelum membuat persembahan konsert minggu kedua program berkenaan. 

Adibah telah mempersembahkan lagu berjudul Istana Menanti berjaya menduduki tangga tiga teratas sekaligus melayakkan dirinya mara ke konsert minggu ketiga dan akan menyampaikan lagu All I Ask nyanyian asal Adele.

Foto: Instagram Adibah Noor 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here