Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memaklumkan telah turun padang untuk menghantar sumbangan dan bantuan kepada mangsa banjir di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini. 

Siti atau lebih mesra dengan gelaran TokTi memberitahu bahawa dia dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa telah bersepakat untuk menjalankan misi bantuan tersebut sejurus mengetahui bencana banjir yang berlaku khusunya di sekitar kawasan Shah Alam dan Hulu Langat. 

“Bila saya dapat tahu tentang banjir yang berlaku di sekitar Kuala Lumpur, Shah Alam dan sebagainya pada ketika itu saya ada buat persembahan untuk Anugerah Drama Sangat 2021, 

“Pada esoknya, sebenarnya saya ada majlis bersama syarikat saya iaitu majlis makan malam dan pelancaran produk terbaru saya. Jadi saya tunda semua tu, 

“Saya bangun pagi tu terus cakap dengan suami saya jom kita pergi tengok mana semua orang yang tengah susah sekarang. Kami sarapan di luar lepas tu terus beli barang-barang dekat Mydin dan terus ke lokasi,” katanya. 

Dalam pada itu, penyanyi lagu Aku Bidadari Syurgamu ini turut berkongsi pengalaman dirinya sewaktu memasuki kawasan kejadian untuk menghantar sumbangan kepada mangsa banjir yang terlibat.

 “Kami redah sahaja, saya tak sangka bila saya sampai di Shah Alam mereka akan bagi masuk kalau untuk hantar bantuan cuma mereka pesan untuk berhati-hati sebab air tengah naik sebab takut kami tersangkut kat tengah-tengah tu. Jadi kami tawakal sahaja, 

“Ketika berada di Shah Alam tu saya berada dalam kereta dengan paras air yang tinggi dan kita tak nampak ada longkang ke, lubang ke sebab sepanjang perjalanan tu saya nampak ada kereta yang terbalik, 

“Ada juga saya lihat kereta yang hantar bantuan pun terbalik sama jadi bila saya lihat macam tu saya sentiasa berdoa dalam hati supaya tidak ada benda buruk yang berlaku sebab niat saya nak hantar bantuan,” katanya lagi. 

Pada masa yang sama, ibu kepada dua orang cahaya mata ini memberitahu bakal menghantar bantuan kepada mangsa banjir di negeri Pahang secepat mungkin. 

“Selepas ini, saya bersama ‘team’ akan turun ke Pahang pula untuk hantar bantuan sebab keadaan di sana pun agak teruk akibat banjir. 

“InsyaAllah, kami akan mencari dana serta pulun sebanyak mana yang boleh penderma bagi dan itu yang kita akan berikan kepada semua bangsa banjir,” kongsinya. 

Penyanyi berusia 42 tahun ini telah ditemui di satu sidang media pelancaran filem dokumetari berjudul Siti : Are You Ready? yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada Rabu. 

Foto: Instagram Siti Nurhaliza

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here