Industri hiburan tanah air telah dikejutkan dengan berita pemergian penyanyi Siti Sarah yang telah menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan Covid-19 di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras pada jam 5.13 pagi Isnin.

Bukan sahaja mendapat perhatian daripada kalangan peminat, malah golongan selebriti tanah air juga turut menzahirkan rasa sayu dengan pemergian penyanyi lagu Kesetiaan itu.

Selain menzahirkan ucapan takziah kepada Allahyarhamah Sarah, rata-rata netizen turut terkesan setelah melihat kembali kemesraan dan keakraban Sarah bersama suaminya, Shuib sebelum ini.

Penyanyi, Ernie Zakri misalnya akui berasa tersentuh dan khabar duka yang membabitkan Sarah dan suaminya Shuib ini telah membuatkan dirinya untuk bersikap lebih menghargai pasangan.

“Kisah yg jadi harini, buatkan kita appreciate partner kita more. Buat kita hargai org kesayangan kita lg. Ya Allah, semoga keadaan pulih semula. Kami dah penat sangat,” tulisnya menerusi satu hantaran di akaun Twitter miliknya.

Sekadar informasi, Ernie mendirikan rumah tangga bersama penyanyi Syamel pada tanggal 26 Mac yang lalu.

Terdahulu, Sarah sekeluarga telah disahkan positif Covid-19 pada 27 Julai lalu.

Selepas itu, Sarah telah dikejarkan ke HUKM selepas tahap oksigen dalam tubuh badan menurun pada petang Rabu.

Kemudian, dia terpaksa ditidurkan sebelum menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungannya yang mencecah usia tujuh bulan lebih awal, pada 5 Ogos lalu.

Pada Jumaat bertarikh 6 Ogos, Sarah telah selamat melahirkan bayi lelaki diberi nama Ayash Affan.

Sekadar informasi, Sarah telah mendirikan rumah tangga bersama Shuib pada 26 Februari 2011 dan hasil perkongsian hidup, pasangan ini turut mempunyai tiga cahaya mata lain iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.

Foto: Instagram Ernie Zakri, Siti Sarah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here